Amanah yang belum tertunai

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah. Selesai sudah Muktamar Agung Tahunan PMIUTM sesi 2009/2010. Tahniah dan takziah buat semua saf kepimpinan yang baru sahaja meletakkan jawatan secara rasminya. Tahniah dan takziah juga diucapkan kepada semua saf kepimpinan baru yang menyambung perjuangan PMI di bumi UTM rimbun bernaung ini. Secara rasminya, berakhir sudah tugasku selaku Timbalan Pengerusi Lujnah Penerangan dan Multimedia untuk sesi ini. Secara teknikalnya memang begitu. Namun, bukanlah bermakna segalanya harus ditinggalkan begitu sahaja. Masih banyak lagi tugas dan amanah yang perlu dipikul selepas ini.

Aku kini bergelar mantan. Kata orang, mundar-mandir tanpa jawatan. Tak kisahlah apa pun gelarannya. Yang penting, hidup perlu diteruskan. Bak kata orang putih, life must go on. Berbalik kepada tujuan penciptaan manusia, memetik maksud firman Allah dalam Surah Az-Zariyat, ayat 56, yang bermaksud:

"Tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku."

Dan dalam Surah Al-Baqarah, ayat 30, yang bermaksud:

"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, "Aku hendak menjadikan khalifah di bumi."

Sebagai seorang yang beriman dengan Al-Quran, ayat-ayat ini menyedarkan kita tentang tanggungjawab sebagai seorang hamba Allah, sekaligus sebagai khalifah bumi. Peranan yang sungguh besar ertinya jika diselami sedalamnya. Tanggungjawab itu bukanlah sekadar semata-mata kerana jawatan mahupun gelaran yang disandang. Tetapi, perlu diingat bahawa, selama mana nafas kita, selama itulah tugas dan tanggungjawab kita tidak akan selesai. Tanggungjawab seorang anak Adam di muka bumi hanya akan selesai setelah roh terpisah dari jasad. Sesungguhnya, amanah itu sememangnya perkara yang paling berat di dunia. Usah mengeluh akan apa yang terpikul di bahu. Sabar dan tabah menjadi resepi mengharungi kesusahan. Ingatlah, segala apa yang kita lalui hari ini, sesungguhnya Allah sedang menyediakan kita untuk sesuatu yang lebih besar pada masa akan datang.

Khas buat semua pimpinan baru, selamat menjalankan tugas dengan jayanya. Semoga sesi kepimpinan kali ini dapat memacu perubahan ke arah yang lebih gemilang.

"Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan umtuk manusia, menyuruh kepada yang ma'aruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah." (Ali-Imran: 110)

Wallahua'lam.

0 comments: